Oleh MOHD. IZANI MOHD. ZAIN
Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 pada awal Jun lalu, kerajaan berhasrat untuk menambahkan kepentingan pembangunan bukan fizikal kepada 40 peratus berbanding dengan 21.8 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Sehubungan itu, dalam Rancangan Malaysia Ke-10, kerajaan tidak bercadang untuk menambahkan bilangan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan menjadikan jumlahnya kekal iaitu 20 buah nstitusi Pengajian Tinggi Awam di seluruh negara.
Perkembangan ini juga jelas menunjukkan keseriusan kerajaan untuk memberikan fokus kepada pembangunan modal insan dan memupuk tahap inovasi yang lebih memberangsangkan. Peruntukan yang sebelum ini banyak digunakan untuk pembangunan fizikal, kini disalurkansebagai dana penyelidikan.
Untuk menggalakkan inovasi, kerajaan menambahkan peruntukan kewangan yang disalurkan untuk aktiviti penyelidikan. Hakikatnya, Malaysia hanya memperuntukkan 0.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tujuan penyelidikan dan kadar ini jauh lebih kecil berbanding dengan negara maju. Korea Selatan dan Singapura misalnya masing-masing berbelanja sebanyak 2.6 peratus dan 3.5 peratus daripada KDNK untuk tujuan penyelidikan. Dalam Rancangan Malaysia Ke-10, kerajaan menjangkakan perbelanjaan untuk tujuan penyelidikan bakal mencecah 1.0 peratus daripada KDNK.
___
Penulis Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.
Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat September 2010. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini
Sistem Pendidikan Dirombak Lahirkan Modal Insan Bertaraf Dunia
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Sistem pendidikan akan disusun semula dalam Rancangan Malaysia Ke-10 selaras dengan usaha kerajaan untuk menghasilkan modal insan bertaraf dunia.
Menurut laporan RMK-10, langkah itu adalah sebahagian daripada rangka kerja bersepadu pembangunan modal insan yang akan dilaksana kerajaan bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak sehingga mereka berada di alam pekerjaan.
Menerusi rangka kerja itu, kerajaan juga akan meningkatkan kemahiran rakyat bagi menambah peluang mereka untuk mendapat pekerjaan, selain mengubah pasaran tenaga kerja untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
Mengenai rombakan semula sistem pendidikan bagi meningkatkan pencapaian pelajar, empat strategi akan diambil iaitu memastikan setiap kanak-kanak boleh berjaya, menjadikan sekolah bertanggungjawab terhadap prestasi pelajar, membuat pelaburan bagi membangun kepimpinan unggul di setiap sekolah, dan meningkatkan daya tarikan profesion perguruan.
Di bawah RMK-10, kurikulum baru untuk sekolah rendah dan menengah akan diperkenalkan dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah mulai tahun depan, diikuti kurikulum sekolah menengah.
Kurikulum baru itu akan menggembleng prinsip-prinsip 1Malaysia dalam pendekatan pedagogi penyampaian pelajaran dan juga memasukkan sukan sebagai satu mata pelajaran bermula tahun depan menerusi polisi '1Pelajar, 1Sukan'.
Bagi memastikan setiap kanak-kanak boleh berjaya, kerajaan akan melebihkan penumpuan kepada usaha meningkatkan pendidikan awal kanak-kanak bagi membolehkan golongan itu bermula lebih awal.
Memandangkan lebih ramai kanak-kanak bersedia untuk bersekolah pada usia lebih muda menerusi pelaksanaan program pembangunan awal kanak-kanak dan pendidikan prasekolah Permata, umur kemasukan ke sekolah diturunkan daripada enam tahun kepada lima tahun, selaras dengan amalan di kebanyakan negara maju.
Ia akan dilaksana secara berperingkat dan akan bermula di sekolah luar bandar dan estet terutamanya di sekolah-sekolah yang tidak digunakan sepenuhnya, sekali gus membolehkan pelajarnya mendapat manfaat kerana bermula lebih awal.
Program Permata, iaitu program pembangunan awal bagi kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah, akan diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran bermula tahun depan bagi tujuan penyelarasan dan integrasi dengan sistem pendidikan formal.
Sebanyak 181 pusat Permata akan diwujudkan di seluruh negara dengan peruntukan RM36 juta di bawah RMK-10.
Kerajaan juga berhasrat meningkatkan pendaftaran murid prasekolah daripada 87 peratus menjelang 2012 kepada 92 peratus pada 2015, dan pada masa yang sama meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah. Sebanyak RM2 bilion disediakan untuk itu.
Kerajaan juga akan menyediakan insentif bagi pengusaha pusat pendidikan prasekolah swasta bagi memacu penubuhan pusat-pusat pendidikan prasekolah baru khususnya di kawasan luar bandar.
Di bawah insentif itu, skim bayaran bersama untuk meningkatkan permintaan terhadap pendidikan prasekolah akan dilaksana, iaitu keluarga berpendapatan rendah diberi bantuan yuran sebanyak RM150 sebulan bagi mendaftarkan anak mereka yang berusia empat dan lima tahun di tadika swasta.
Kerajaan juga memperuntukkan RM400 juta untuk Program Penyaringan Literasi dan Numerasi (Linus) antara tahun 2010 dan 2012 bagi memastikan semua pelajar memiliki kemahiran asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun pertama di sekolah rendah.
Di bawah strategi menjadikan sekolah bertanggungjawab terhadap pencapaian pelajarnya, kerajaan akan memberi penekanan khusus bagi sekolah-sekolah yang mencatatkan pencapaian rendah.
Semua sekolah akan dinilai dan ditarafkan setiap tahun mengikut ranking prestasi yang bertujuan meningkatkan tahap ketelusan membabitkan prestasi sekolah serta menggalakkan mereka memperhebatkan usaha, selain memudahkan Kementerian Pelajaran menumpukan bantuan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan.
Rancangan dan set peralatan bagi meningkatkan prestasi sekolah akan diberi bagi membolehkan guru besar melihat secara menyeluruh pencapaian sekolah mereka dan menyediakan pelan yang bersesuaian dengan keperluan sekolah.
Bagi melahirkan pemimpin unggul di setiap sekolah, kerajaan memperkenalkan 'Bai'ah' atau Perjanjian Baru bagi guru besar dan pengetua, iaitu menerusinya mereka yang berjaya mencatatkan pencapaian cemerlang akan diberi penghargaan dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan, bermula tahun ini.
Kerajaan juga memperkenalkan rangka kerja 'Sekolah Amanah" iaitu sekolah kerajaan ditadbir bersama rakan kongsi swasta dan penjawat awam untuk mempercepatkan usaha melahirkan sekolah yang cemerlang dalam semua bidang.
-- BERNAMA

About Me
Human : Jennifer Lopez binti Joyah
